SHAH ALAM: Pelakon Eyka Farhana menafikan dakwaan memperlahankan kerjaya seni selepas mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata, sebaliknya menegaskan masih aktif serta terbuka menerima tawaran lakonan.
Eyka atau nama sebenar, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 31, berkata, perubahan rutin kehidupan selepas bergelar isteri dan ibu menuntutnya lebih bijak mengatur masa bagi memastikan tanggungjawab terhadap keluarga tidak terabai.
"Saya bukan tidak mahu berlakon lagi, tetapi lebih kepada soal masa. Daripada segi lakonan, saya masih aktif dan terbuka menerima tawaran pada masa akan datang.
"Saya belum buat keputusan untuk berhenti berlakon selepas berkahwin dan dikurniakan cahaya mata. Selagi masih berkemampuan, saya akan terus berlakon kerana banyak lagi karakter yang mahu dicuba.








