Pasir Puteh: Dua lelaki terselamat selepas kereta dinaiki terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Kilometer 33 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu (Sungai Kelong) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, mangsa pemandu berusia 30 tahun dan penumpang berusia 36 tahun menaiki kereta jenis Perodua Kelisa dalam perjalanan dari Pasir Puteh ke Tumpat untuk pulang ke rumah di Kampung Masjid, Tumpat.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala penumpang luka di kaki kanan.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika kereta dinaiki mangsa melalui jalan berkenaan yang gelap serta tiada pencahayaan lampu tunjuk arah di lokasi pembinaan jambatan baharu itu menyebabkan kenderaan terbabit terbabas ke dalam sungai.