KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky meluahkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) akan menarik balik lebih banyak sekatan terhadap Russia sambil menyifatkan tindakan Presiden, Donald Trump hanya memberi ‘ganjaran’ kepada Pemimpin Kremlin, Vladimir Putin.
Kenyataan itu menyusul selepas Trump menandatangani perintah eksekutif pada Jumaat bagi mengecualikan sekatan komprehensif AS yang menyasarkan hasil tenaga Russia.
Ketetapan tersebut dibuat di sebalik tindakan Russia meningkatkan siri serangan udara ke atas Ukraine dalam krisis peperangan yang kini memasuki tahun kelima.
Trump sebelum ini mengumumkan persetujuan perjanjian dengan Putin untuk membenarkan eksport diesel Russia sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan. Zelensky menyuarakan kebimbangan lebih banyak konsesi akan diberikan kepada Moscow selepas ini.








