KUALA LUMPUR: Bantuan kepada isi rumah kumpulan M40 yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup serta cadangan memperluas had umur penggunaan media sosial kepada platform permainan dalam talian antara isu dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) meminta Menteri Kewangan menjelaskan langkah membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar, tetapi masih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai mekanisme penilaian semula kelayakan bantuan berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa isi rumah.

Sementara itu, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta Menteri Komunikasi menjelaskan sama ada kementerian bercadang memperluas had umur penggunaan media sosial kepada platform permainan dalam talian, khususnya yang mempunyai ramai pengguna dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.