KUALA LUMPUR: Pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom menyifatkan pemergian pengarah teknikal skuad berbasikal, John Beasley yang bakal meninggalkan kem negara pada 31 Januari 2027 sebagai kehilangan cukup bermakna dalam perjalanan kariernya.
Bagi Shah, dia mengakui sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata betapa besar makna perjalanan yang dilaluinya bersama jurulatih dari Australia itu, terutama selepas mereka mengharungi pelbagai pengalaman sepanjang berada dalam skuad negara.
Katanya, dia sudah bersama Beasley sejak berusia 19 tahun dan sepanjang tempoh itu, banyak perkara dipelajari bukan sahaja dalam aspek perlumbaan, malah turut membentuk dirinya sebagai seorang individu.
"John, terima kasih atas segala kerja keras, komitmen dan pengorbanan yang anda curahkan selama ini. Anda bukan sekadar membentuk saya sebagai pelumba, malah turut membantu membentuk diri saya seperti hari ini," katanya menerusi perkongsian di media sosial.









