Sepang: Malaysia Aviation Group (MAG) menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 40 hingga 45 peratus menjelang 2035 berbanding paras asas 2019 menerusi Pelan Hala Tuju Kelestarian Jangka Sederhana MAG 2026–2035.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar, berkata pelaksanaan itu menyokong Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) MAG serta komitmen terhadap karbon sifar bersih menjelang 2050.

"MAG menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 30 hingga 35 peratus menjelang 2030 dan 40 hingga 45 peratus menjelang 2035, berbanding paras asas 2019.

"Dalam operasi penerbangan, kami akan menumpukan kepada pembaharuan armada, kecekapan bahan api, elektrifikasi peralatan darat, bahan api penerbangan mampan (SAF), serta kredit karbon layak selaras dengan keperluan kawal selia," katanya semasa berucap dalam Hari Kelestarian Penerbangan 2026 anjuran MAG dan Malaysia Airports di sini, hari ini.