TEMERLOH – Polis menahan 17 lelaki daripada empat kumpulan yang disyaki terlibat dalam kejadian mencuri kabel Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan juga kabel Telekom Malaysia (TM) dalam beberapa serbuan di sini baru-baru ini.

Kesemua suspek ditahan melibatkan empat kumpulan iaitu Geng Ravi dan Geng Kepala yang terlibat dalam kes kecurian kabel ECRL dan Geng Dany serta Geng Mista yang terlibat dalam kecurian kabel TM.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, antara 12 Oktober hingga 19 Oktober pihaknya telah melakukan serbuan dan menumpaskan empat geng berkenaan yang dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri dan menyamun kabel dan besi projek ECRL serta mencuri kabel TM di sekitar Temerloh dan Mentakab.