KUALA LUMPUR: Baki purata pendapatan isi rumah dalam kumpulan 10 peratus terbawah (B10) selepas mengambil kira perbelanjaan merosot 81 peratus dalam tempoh lima tahun, daripada RM219 pada 2019 kepada hanya RM41 pada 2024.
Angka itu jauh berbeza dengan baki purata pendapatan isi rumah dalam kumpulan 10 peratus tertinggi (T10) selepas mengambil kira perbelanjaan, iaitu RM14,252.
Secara purata, baki pendapatan isi rumah di Malaysia selepas mengambil kira perbelanjaan ialah RM3,589.
Perkara itu didedahkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dalam laporan Beyond the Middle-Income Trap: Does Malaysia's Growth Model Deliver Broad-Based Prosperity? Laporan itu disediakan oleh pelatih KRI, Khor Hui Min.







