BUTTERWORTH : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa komited untuk menambah baik program-program berkaitan antikeganasan rumah tangga dalam usaha membantu golongan wanita yang terlibat.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara langkah yang diambil ialah terus memperkasakan Skuad Wanita Anti Jenayah (Waja) yang kini 25 peratus daripada ahlinya adalah lelaki.
“Ini apa yang kita buat di kementerian (KPWKM) sekarang. Kita berusaha untuk tambah baik dan perbaiki program-program yang kita buat. Contoh macam Skuad Waja. Kalau boleh, kita mahu semua pihak jadi ahli termasuk pemimpin-pemimpin di peringkat komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pelan tindakan yang diambil oleh KPWKM dalam mendepani peningkatan kes keganasan domestik terhadap wanita sehingga menyebabkan kematian sejak akhir-akhir ini.









