NAGOYA: Kejayaan pasukan skuasy wanita negara mempertahankan pingat emas berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai pemain muda untuk berani memasang impian mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Pemain negara, Aira Azman berkata, dia berharap kejayaan itu dapat membuka mata pemain muda bahawa mereka juga berupaya mengharumkan nama Malaysia sekiranya terus berusaha mencapai potensi masing-masing.

"Kami berharap lebih ramai pemain muda Malaysia akan melihat kejayaan ini sebagai inspirasi dan percaya mereka juga mampu melakukannya," kata Aira.

Harapan itu disuarakan selepas Aira memainkan peranan penting memastikan Malaysia mempertahankan gelaran apabila menewaskan Lee Ka Yi 11-9, 11-5, 11-4 pada perlawanan penentuan untuk membantu negara menundukkan Hong Kong 2-1 di Arena Nagoya Kinjo Futo, hari ini.