Muhyiddin Yassin berkata pembangunan pesat di bandar besar perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan golongan miskin supaya mereka tidak semakin tertekan atau terpinggir. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan mewujudkan pelan induk khusus bagi menangani kemiskinan di kawasan bandar dan separa bandar dalam tempoh lima tahun akan datang.
Bekas perdana menteri itu berkata pelan berkenaan perlu memberi tumpuan kepada perumahan, kesihatan, pekerjaan, pendidikan dan bantuan sosial, dengan penglibatan agensi merentas kementerian bagi memastikan pelaksanaannya lebih menyeluruh dan berkesan.
“Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia dan Negeri 2024, jurang kemiskinan dan pendapatan antara bandar dengan luar bandar masih ketara. Kemiskinan mutlak luar bandar kekal pada 10% pada 2024. Pendapatan median isi rumah luar bandar hanya RM4,588 berbanding RM8,139 di bandar.








