Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan merancang untuk menyelaras dan menggabungkan lebih 300 persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berdaftar bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada golongan berkenaan, kata Timbalan Menterinya Adly Zahari.
Beliau berkata menerusi langkah yang akan dilaksanakan oleh Majlis Veteran Kebangsaan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) itu, jumlah persatuan akan dikurangkan kepada 100 dan akan dipimpin oleh persatuan induk bagi membolehkan skim bantuan kerajaan diselaraskan dengan lebih berkesan.
"Pada masa sama, kementerian juga mempertimbangkan untuk meningkatkan sumbangan atau peruntukan yang telah disediakan.
"Kami juga berharap pihak negeri akan terus memberikan sokongan dan dorongan kepada persatuan-persatuan veteran kerana di JHEV, tumpuan kami adalah memastikan kebajikan veteran dapat dijaga," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.









