SEREMBAN – Pengurusan kes saman pemula membabitkan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang mencabar pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini esok.

Prosiding itu dijadualkan bermula pada pukul 4.30 petang menerusi sidang video di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain.

Saman pemula itu difailkan pada 5 Oktober lalu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai responden.

Kesemua pemohon memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco yang diwartakan pada 24 September lalu sebagai batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa.