KOTA BHARU – Di mana sahaja Kelantan beraksi, di situ penyokongnya hadir membanjiri stadium, termasuk di gelanggang lawan, sekali gus menunjukkan kemeriahan penyokong The Red Warriors (TRW) suatu ketika dahulu.Kenangan tersebut masih segar dalam ingatkan bekas pengurus TRW, Azman Ibrahim yang berharap kemeriahan bola sepak seperti itu dapat dihidupkan semula menerusi perlawanan berkonsepkan pertemuan semula (reunion) antara skuad Ex-Treble dan pilihan Pahang.Menurut beliau, perlawanan berkenaan bukan sekadar mengimbau nostalgia, sebaliknya menjadi peluang untuk menghargai penyokong lama dan mengembalikan semangat yang pernah menjadikan bola sepak Kelantan begitu dekat di hati peminat.Beliau berkata, kehadiran penyokong Kelantan ketika pasukan beraksi di luar negeri menjadi antara pengalaman paling mengujakan, malah mereka turut disambut dengan pelbagai acara."Kalau Kelantan main di mana-mana sahaja, mesti ada penonton. Saya memang teruja dengan semua penyokong Kelantan ketika itu."Sekiranya kita bermain di Perak, penyokong Kelantan akan turun beramai-ramai. Kami disambut di hotel dan pelbagai acara diadakan," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jersi sempena perlawanan Ex-Trebel Kelantan menentang Pahang pada 7 November ini di Stadium Darul Makmur, Pahang yang dianjurkan oleh PUC Sport.Azman memberitahu, penganjuran perlawanan nostalgia itu juga diharap dapat menyuntik semula kemeriahan bola sepak tempatan ketika Liga Malaysia (Liga-M), menurut pandangannya, semakin suram.Jelasnya, usaha berkenaan bukan bermaksud penyokong perlu terus terikat dengan zaman kegemilangan lalu, sebaliknya menjadikan kenangan tersebut sebagai pemangkin untuk menyemarakkan kembali sokongan terhadap bola sepak negara."Kita bukan tak boleh 'move on', tetapi sebenarnya kita nak membantu meriahkan lagi Liga Malaysia yang sekarang ini sedang berjalan."Ini suasana terbaik untuk kita reward kembali penyokong lama dan juga penyokong baharu," katanya.Mengulas mengenai perlawanan antara skuad Ex-Treble dan pilihan Pahang itu, ujar Azman, fokus utama bukanlah untuk memburu kemenangan atau mempamerkan persaingan sengit seperti perlawanan kompetitif.Sebaliknya, kata beliau, peluang menyaksikan bekas pemain kembali beraksi dan berkumpul dalam suasana penuh nostalgia menjadi tarikan utama, walaupun tahap pasukan terbabit mungkin tidak setanding kelab yang bersaing di kelompok atasan liga.Beliau turut berseloroh bahawa pemain berpengalaman yang menyertai skuad Ex-Trebel tidak memerlukan persiapan fizikal dan taktikal seperti pemain profesional kerana pengalaman mereka masih menjadi kelebihan."Tak perlulah latihan sampai wajib masuk gim untuk kecergasan, taktik dan sebagainya. Mereka bermain dengan ilmu yang ada di dada."Orang kata, otai masih berbisa," katanya.