Bangkok: Seorang peramal nasib di Thailand meminta polis menjalankan ujian terhadap lebih 30 azimat yang disyaki diperbuat daripada bahagian tubuh manusia.

Memetik laporan The Thaiger, wanita berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Min mendakwa turut mengalami kerugian lebih 3 juta baht (kira-kira RM384,000) apabila terpaksa memulangkan wang kepada pelanggan yang menuntut ganti rugi selepas menjual semula azimat berkenaan.

Min dilaporkan hadir ke Pejabat Siasatan Pusat (CIB) bersama peguamnya, Ronnarong Kaewphet untuk membuat laporan terhadap seorang bomoh dan pihak lain yang didakwa terbabit dalam penjualan bahan berkenaan.

Min berkata, dia membeli azimat itu daripada bomoh berkenaan menerusi seorang ejen yang mendakwa barangan itu diperbuat daripada organ dan bahagian tubuh manusia termasuk kemaluan lelaki dan wanita, tengkorak, jari serta dahi.