Kuala Lumpur: Kepentingan komersial syarikat insurans tidak seharusnya mengatasi pertimbangan klinikal dan kebajikan pesakit dalam menentukan pengurusan perkhidmatan kesihatan negara.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr L Sivanaesan, berkata, pihaknya prihatin terhadap pendedahan dalam perbahasan Dewan Rakyat baru-baru ini berhubung isu kira-kira 190 doktor pakar di sektor swasta yang didakwa kehilangan kemudahan tanpa tunai daripada syarikat insurans.

Beliau berkata, perkembangan sedemikian menunjukkan bahawa perkhidmatan kesihatan di negara ini semakin dikawal oleh kepentingan perniagaan berbanding garis panduan perubatan dan keperluan pesakit.

"Kami berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat.