Kecintaan terhadap al-Quran yang dipupuk sejak kecil menjadi antara asas kejayaan Nur Syakura Mohamad Musam, 31, yang dinobatkan sebagai johan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-66 pada 10 Oktober lalu.

Namun, bukan sekadar kisah kemenangan di pentas antarabangsa, sebaliknya perjalanan panjang yang dibentuk melalui didikan keluarga, disiplin, pengorbanan dan ketabahan menghadapi kegagalan.

Anak bongsu daripada empat beradik itu dibesarkan dalam keluarga yang menjadikan al-Quran sebahagian daripada kehidupan harian mereka di Kuching, Sarawak.

Bapanya, Mohamad Musa Mat, 69, bekerja sebagai operator perhubungan radio (wireless operator) di Jabatan Perikanan Laut Sarawak, manakala, ibunya, Allahyarhamah Ruhijah Senal meninggal dunia pada 2018 ketika usia 61 tahun ialah suri rumah.