PETALING JAYA: Cadangan pembinaan Lebuh Raya Madani yang menghubungkan Seremban-Kuala Pilah-Bahau tidak termasuk dalam perancangan Kementerian Kerja Raya (KKR) ketika ini.

Bagaimanapun, KKR berkata, kajian Laluan Alternatif Jalan Seremban-Kuala Pilah (FT051) yang dimulakan pada Julai 2022 dan diselesaikan pada Julai 2023 telah mengenal pasti penyelesaian berdasarkan keperluan trafik, guna tanah, sosioekonomi serta kesan alam sekitar dan sosial.

Susulan kajian itu, dua projek kerja awalan diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Projek pertama membabitkan kerja awalan pembinaan Jalan Kuala Pilah Bypass dari Tanjung Ipoh ke Kampung Gentam Tengah, Kuala Pilah, dengan peruntukan RM187 juta bagi reka bentuk dan pengambilan tanah.