SHAH ALAM – Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan meluahkan perasaan kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam bahasa Jawa ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Rabu lalu berhubung isu kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan.Tindakannya yang menyampaikan mesej mengenai kesan jerebu yang berulang setiap tahun terhadap rakyat Malaysia dan Indonesia itu turut menarik perhatian pengguna media sosial.Seorang pengguna akaun TikTok, Leo Tanimaju berkongsi klip video ucapan tersebut bersama terjemahan dalam bahasa Indonesia.Menerusi klip video itu, Kalam memulakan ucapannya dengan memberi salam kepada Prabowo sebelum membangkitkan kesan jerebu terhadap rakyat kedua-dua negara."Saya ingin menyampaikan keprihatinan mengenai asap akibat kebakaran hutan di Indonesia yang hampir setiap tahun memberi kesan sehingga ke Malaysia."Asap ini bukan sekadar mengganggu pandangan tetapi juga menyulitkan masyarakat untuk bernafas, ramai orang mengalami batuk, tekak gatal hingga sesak nafas," katanya.Menurutnya, selain menjejaskan kesihatan, keadaan itu turut mengganggu aktiviti pendidikan sehingga sekolah terpaksa ditutup, manakala sektor pelancongan menjadi sepi.Kata beliau, orang ramai yang bekerja di kebun juga tidak dapat menjalankan pekerjaan seperti biasa akibat jerebu.Kalam menambah, kesan masalah berkenaan bukan sahaja ditanggung rakyat Malaysia, malah turut dirasai warga Indonesia yang bekerja di kebun di negara ini.Ujarnya, warga Indonesia tersebut turut berdepan kesukaran mencari rezeki apabila tidak dapat bekerja dan memperoleh pendapatan, sekali gus menyukarkan usaha menghantar wang kepada anak dan isteri di Indonesia.Beliau turut mengingatkan supaya isu jerebu tidak dijadikan bahan gurauan atau sindiran, termasuk dakwaan bahawa hutan Indonesia menyumbang oksigen kepada Malaysia."Kononnya bercakap jika hutan Indonesia sudah menyumbang oksigen untuk Malaysia. Habis itu, hutan Malaysia ini apa, pokok plastik?" ujarnya.Sehubungan itu, Kalam meminta Prabowo supaya mengambil tindakan segera bagi menangani masalah berkenaan dan memastikan kebakaran hutan dipadamkan.Beliau berharap kejadian jerebu tidak terus berulang setiap tahun sehingga menyebabkan Malaysia dan Indonesia sama-sama menanggung kesusahan.Pada akhir ucapannya, beliau menyuarakan harapan agar rakyat kedua-dua negara dapat menikmati langit yang terang, udara bersih, pernafasan yang lega dan kehidupan yang sihat.Dalam ulasan terhadap ucapan terbabit, pembuat kandungan TikTok itu menyifatkan penggunaan bahasa Jawa oleh Ahli Parlimen Malaysia itu sebagai satu cara untuk memastikan mesej berhubung kebakaran hutan dan jerebu mendapat perhatian pemerintah Indonesia.