SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menunggu jemputan rasmi mesyuarat Perikatan Nasional (PN) susulan penggantungan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga akan menantikan semakan implikasi undang-undang dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)."Pas sepatutnya sejak awal mematuhi Perlembagaan PN serta aturan pertubuhan itu selaku pengerusi dan pentadbir gabungan berkenaan."Jika Pas patuh dan melaksanakan keputusan-keputusan MT (Majlis Tertinggi) PN secara amanah dan tidak bertangguh-tangguh, tidak ada pemimpin Pas yang bukan anggota MT bertindak melanggar keputusan serta tidak berunding di belakang secara mengenepikan MT, perkara ini tidak akan sampai ke peringkat mahkamah dan RoS," katanya pada Jumaat.Sebelum ini Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan PN akan memanggil Bersatu menghadiri mesyuarat meskipun kemelut antara kedua-dua pihak masih belum reda.Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung Notis Pembatalan Pendaftaran PN yang dikeluarkan RoS membolehkan gabungan itu mengadakan mesyuarat.Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizan Md Arshad memutuskan penggantungan berkenaan selepas berpendapat terdapat kemudaratan lebih besar kepada gabungan itu selaku pemohon sekiranya penggantungan pelaksanaan tidak dibenarkan.Hakim kemudian membenarkan permohonan gabungan parti itu supaya notis berkenaan digantung sehingga prosiding substantif semakan kehakiman didengar.Dalam pada itu Tun Faisal menegaskan, Pas perlu memahami mereka tidak sepatutnya bertindak secara unilateral dan melanggar perlembagaan PN ada perlembagaan serta aturannya."Keputusan 'stay' tidak memutuskan sama ada keputusan RoS salah dan Pas tidak pernah melanggar Perlembagaan PN, menindas dan menafikan hak Bersatu sebagai parti anggota PN."Panggilan mesyuarat, kata orang Perak, baru ada akai," ujarnya.