MODENAS Z15GT mencipta sejarah apabila meraih kemenangan sulung dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup pada pusingan ketujuh Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, baru-baru ini.

Kemenangan itu diraih pelumba Raynorton Motorsport, Md Firdaus Mohd Hamdan yang memulakan perlumbaan dari petak ketujuh sebelum menamatkan saingan enam pusingan dengan catatan masa lapan minit 22.674 saat.

Kejayaan itu hadir hanya lapan hari selepas Firdaus meraih podium pertama Z15GT dalam kategori sama apabila menduduki tempat kedua di Litar Karting Antarabangsa LYL pada 10 Oktober lalu.

"Untuk meneruskan pencapaian podium pertama dengan kemenangan di Sepang adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan. Kemenangan ini milik seluruh pasukan yang bekerja keras," katanya.