TAWAU: Buruh ladang yang didakwa membunuh kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tiga tahun lalu, dilepaskan daripada pertuduhan itu selepas Mahkamah Tinggi mendapati dia mengalami ketidaksempurnaan akal ketika kejadian.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos mendapati tertuduh, Paulus Poka Lolo, 33, tidak berupaya mengetahui sifat perbuatannya atau bahawa perbuatan itu salah atau bertentangan dengan undang-undang seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Mahkamah menerima pembelaan tidak siuman berdasarkan keterangan pakar psikiatri forensik yang mengesahkan tertuduh menghidap skizofrenia.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian mangsa melampaui keraguan munasabah.