PUTRAJAYA: Bukan menghilangkan diri, sebaliknya pelakon, Noorkhiriah, menjelaskan tindakannya memadam akaun media sosial adalah bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kehidupan nyata dan keluarga.

Noorkhiriah atau Noorkhiriah Ahmad Shapie, 50, mendedahkan hasrat tersebut sebenarnya sudah lama dipendam sejak sedekad lalu ketika dia berada di tanah suci.

“Sebenarnya saya ada sahaja dan tidak ke mana-mana. Cuma pada tahun 2016 semasa berada di hadapan Kaabah, saya pernah berdoa kepada Allah bahawa jika boleh, saya tidak mahu lagi aktif di media sosial.

“Alhamdulillah, selepas 10 tahun barulah doa itu termakbul. Saya bukannya menghilang, saya masih ada,” katanya ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 di PICC, malam tadi.