PETALING JAYA – Beberapa ibu bapa tidak menyangka anak mereka mengalami masalah rabun jauh dengan tahap lebih 1,000, sebelum mengetahui­nya selepas pemeriksaan mata.

Seorang ibu, Zuraini Mohd., 35, berkata, dia terkejut apabila anak perempuannya yang baru berusia enam tahun disahkan mengalami rabun jauh dengan kadar 1,100 pada mata kiri dan 750 pada mata kanan.

“Umur enam tahun dah kena pakai cermin mata. Saya memang tak sangka rabun jauh dia sangat tinggi, 1,100 sebelah kiri dan 750 sebelah kanan, tambah pula silau pada kedua-dua belah mata.

“Saya memang terkejut pada mulanya, tetapi untuk kebaikan dia, sekarang saya dah perlahan-lahan boleh terima,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.