IPOH - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 109 warga asing menerusi dua operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini sejak malam tadi hingga awal pagi ini.Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 34 wanita menerusi Ops Gegar di sebuah pusat hiburan dan empat pusat urut, manakala 75 lelaki ditahan di Pasar Borong Ipoh.Beliau berkata, kedua-dua operasi itu melibatkan 66 pegawai dan anggota penguat kuasa JIM Perak, Bahagian Perisikan Operasi Khas JIM Putrajaya dan polis."Ops Gegar bermula pada jam 9 malam dengan pemeriksaan terhadap 70 warga asing, manakala operasi di Pasar Borong Ipoh bermula pada jam 1.30 pagi dan melibatkan pemeriksaan terhadap 77 warga asing," katanya pada sidang media di sini pada Ahad.Beliau berkata, warga asing yang ditahan di Pasar Borong Ipoh terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Laos dan Indonesia, manakala tangkapan menerusi Ops Gegar melibatkan warga Thailand dan Vietnam.Lokman Effendi berkata, mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan permit atau pas yang dikeluarkan."Ketika serbuan dibuat, warga asing ini cuba melarikan diri dan atas kecekapan pegawai serta anggota penguat kuasa, kami berjaya menahan kesemua yang ada," katanya.Beliau berkata, lima saman turut dikeluarkan kepada majikan bagi meminta mereka hadir ke bahagian penguatkuasaan Imigresen untuk membantu siasatan, manakala kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Perak untuk tindakan lanjut.Sementara itu, Lokman Effendi berkata, JIM melaksanakan lebih 11,000 operasi penguatkuasaan di seluruh negara sejak 1 Jan hingga 25 Oktober membabitkan pemeriksaan hampir 150,000 warga asing.Beliau berkata, lebih 66,000 warga asing ditahan dalam tempoh berkenaan, dengan lebih 41,000 daripadanya menerusi operasi penguatkuasaan, manakala lebih 24,000 lagi ditahan atau diserahkan oleh agensi penguatkuasaan lain, di pintu masuk negara serta menerusi operasi lain.Katanya, lebih 45,000 warga asing telah dihantar pulang ke negara masing-masing selepas tindakan diambil, manakala selebihnya masih dalam proses tindakan JIM dan pihak berkuasa berkaitan. - Bernama