NILAI: Suspek lelaki yang disyaki membunuh isterinya yang juga pegawai agensi kerajaan di sebuah unit kediaman dekat Kuarters KLIA, di sini, 15 Oktober lalu akan dituduh esok.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, berkata suspek yang berusia 37 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Seremban, pagi esok.

"Susulan arahan pertuduhan yang diperoleh, suspek yang disyaki terbabit dalam kes kematian seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), pertengahan bulan ini dijangka dituduh esok.

"Suspek akan dibawa ke Majistret Seremban untuk berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.