KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila teguran atau titah baginda berkaitan pentadbiran negeri disalah tafsir segelintir pihak dan ahli-ahli politik sebagai cubaan mencampuri urusan kerajaan atau mengamalkan pemerintahan raja secara mutlak.

Baginda bertitah, teguran tersebut bukan bertujuan mencetuskan pertelingkahan dengan kerajaan negeri, sebaliknya bagi memastikan kebajikan rakyat dan masa depan Selangor sentiasa diberikan keutamaan.

“Beta tidak mahu rakyat melihat teguran beta sebagai suatu pertelingkahan atau pergeseran antara beta dengan kerajaan.

“Sebaliknya, beta mahu setiap teguran dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab beta untuk memastikan pentadbiran negeri sentiasa mengambil berat kepentingan rakyat dan masa depan negeri Selangor,” titahnya.