SEREMBAN – Seorang penghantar notis Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM1,800 sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap kerja pengubahsuaian rumah tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan itu.

Tertuduh, T. Selvakumar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang RM1,800 melalui akaun Maybank miliknya pada 18 Jun 2024.

Wang itu didakwa diterima sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengganggu atau mengambil sebarang tindakan berhubung kerja pengubahsuaian rumah milik K. Devaraja di No. 456, Jalan Mutiara Galla 12, Taman Mutiara Galla, Jalan Labu, yang dilakukan tanpa kelulusan MBS.