KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berikrar melaksanakan pembaharuan berstruktur terhadap hubungan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan memberi autonomi lebih luas kepada pentadbiran negeri menentukan keutamaan projek pembangunan mengikut keperluan tempatan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata model pentadbiran sedia ada sejak merdeka yang memusatkan kuasa pembuat keputusan di Putrajaya kerap merencatkan pembangunan kerana keutamaan di peringkat Persekutuan sering kali tidak selari dengan keperluan sebenar di peringkat akar umbi.
"Persekutuan tidak boleh mengenal pasti projek infrastruktur yang tepat melainkan ia dinyatakan sendiri oleh kerajaan negeri. Kadangkala keutamaan kami berbeza dengan keutamaan mereka, dan kepincangan hubungan Negeri-Persekutuan inilah yang perlu diselesaikan," katanya dalam sidang media Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026, hari ini.








