JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz berharap rakaman video aksi Port FC mampu membantu skuad Harimau Selatan ketika melayan kunjungan kelab dari Thailand itu pada aksi kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, esok.
Menurutnya, rakaman video perlawanan itu penting kerana JDT tidak pernah menentang Port FC dalam aksi kompetitif sekali gus membantu mereka mengenal pasti kekuatan dan kelemahan skuad kendalian Božidar Bandović.
"JDT pernah lawan mereka pada 2018 dan menang 1-0 dan pada 2024 kita menang 3-1 namun kedua-dua aksi itu hanya persahabatan antarabangsa tapi dalam saingan ACLE sudah tentu ia amat berbeza.
"Jadi, kita sudah meneliti rakaman video permainan Port FC dan mereka gemar bermain dengan mengubah corak ke kiri dan kanan untuk melakukan `set-peice', jadi kita kena berwaspada dengan taktik itu malah barisan tengah kita juga tidak boleh membiarkan mereka mengawal permainan," kata Munoz.









