PORT DICKSON – Seorang anggota bomba maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai membuat pusingan U di Kilometer 2.6, Jalan Pantai, di sini, pagi tadi.

Lebih mengejutkan, pemandu berusia 32 tahun melarikan diri sebelum dipercayai menyembunyikan keretanya di sebuah rumah di Puchong, Selangor, dengan nombor pendaftaran hadapan dan belakang ditanggalkan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kereta Toyota Vios yang dipercayai membuat pusingan U di Kilometer 2.6, Jalan Pantai di Port Dickson pagi tadi berjaya ditemui di Selangor. Foto IHSAN POLIS Dalam kejadian pada pukul 8.05 pagi itu, Mohd Yusri Razali, 46, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan, Hospital Port Dickson.