LONDON: Harry Kane bakal menyamai rekod penampilan England dengan kap ke-125 ketika menentang Republik Czech esok (awal pagi Rabu), ketika penyerang itu mahu meneruskan gandingan mantap bersama Jude Bellingham yang disifatkan "menakutkan".

Kane akan menjadi tumpuan jika menyamai rekod bekas penjaga gol England, Peter Shilton, dalam aksi Liga Negara-Negara di Wembley.

Kebanggaan kapten England itu ketika mewakili negaranya terserlah sejak penampilan sulung menentang Lithuania pada tahun 2015.

Kane menjaringkan gol hanya dua minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan itu dan sejak itu jarang melalui tempoh kemarau jaringan bersama England.

Pemain berusia 33 tahun itu kini penjaring terbanyak sepanjang zaman England dengan 89 gol selepas meledak dua jaringan ketika membelasah Croatia 7-0, Sabtu lalu.