KUALA LUMPUR: Lebih 27,200 kenderaan jenis jip dan pikap mendapat manfaat subsidi diesel menerusi penggunaan kad subsidi bahan api di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat 26 Oktober lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kemudahan itu diperluaskan kepada kenderaan jenis jip dan pikap milik syarikat, termasuk perusahaan kecil, bagi membolehkan golongan berkenaan menikmati manfaat subsidi berkenaan.
Katanya, kerajaan turut menyediakan kelayakan tambahan 100 liter diesel sebulan kepada pemilik kenderaan jenis jip dan pikap yang layak, menjadikan jumlah keseluruhan kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
"Kerajaan memperkenalkan kelayakan tambahan ini dengan mengambil kira kenderaan jenis ini sering digunakan sebagai kenderaan utama, terutama di Sabah dan Sarawak.








