BEIJING: Permohonan maaf bintang Real Madrid, Kylian Mbappe, susulan gurauannya mengenai bekas pemimpin China, Mao Zedong, mendapat perhatian serius Beijing, namun kontroversi itu terus memberi kesan kepada imej dan kerjasama komersial pemain Perancis berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata, Beijing mengambil serius permohonan maaf yang dibuat pemain berusia 27 tahun itu selepas kenyataannya mencetuskan kemarahan pengguna media sosial di negara berkenaan.
"Kami mengambil serius permohonan maaf yang dibuat individu berkenaan," kata Jiakun pada sidang media, semalam.
Mbappe sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas membuat kenyataan dalam satu temu bual video bersama program Perancis, The Bridge, apabila menyebut meme internet yang memaparkan wajahnya disunting pada gambar seorang lelaki yang disangkanya diktator China, dipercayai merujuk kepada Mao.








