Dublin: Rapper Amerika Syarikat (AS), Macklemore berikrar akan terus lantang mengkritik tindakan Israel dalam perang di Gaza ketika membuka siri jelajah konsertnya, "Free Palestine" yang dianjurkan selepas beliau digugurkan daripada menjadi artis pembuka konsert jelajah Ed Sheeran susulan kenyataannya berkaitan Palestin.

Pemenang Anugerah Grammy itu menerima sorakan gemuruh, Isnin lalu, daripada penonton di Dublin, Ireland, sebuah negara yang majoriti rakyatnya menyokong Palestin.

Penonton hadir dengan mengibarkan bendera Palestin, memakai jersi bola sepak berwarna hitam, merah dan hijau serta skaf keffiyeh yang turut dijual peniaga di perkarangan lokasi konsert.

"Saya bangga berdiri di pentas ini sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin. Kita akan terus berjuang demi kebebasan bersama sehingga nafas terakhir," kata Macklemore di atas pentas sambil mengibarkan bendera Palestin sepanjang sebahagian besar konsertnya.