PETALING JAYA: Pengurusan Akaun Belum Terima (ABT) bagi kos pengalihan utiliti di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) berdepan teguran serius apabila dikesan berlaku kecelaruan rekod perakaunan serta kelewatan menuntut semula dana awam berjumlah RM90.50 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, ABT bagi kos pengalihan utiliti berjumlah RM90.50 juta sehingga 31 Disember lalu.

Beliau berkata, ia dengan RM84.05 juta atau 92.8 peratus daripadanya telah melebihi 12 bulan.

“Bagaimanapun, sebanyak RM30.46 juta daripada jumlah tersebut tidak sepatutnya direkodkan sebagai ABT kerana melibatkan projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

“Manakala kerja pengalihan utiliti berjumlah RM63.16 juta bagi 11 projek masih belum dituntut walaupun tempoh enam bulan selepas pengeluaran Perakuan Siap Kerja (CPC) telah berakhir,” katanya menerusi kenyataan media Laporan Ketua Audit Negara 2/20226.