SEREMBAN: Pada usia empat tahun, Gaeshwin Nair mencuri perhatian apabila berjaya meraih tiga pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi kebolehannya mengenal pasti dan menyebut 44 komponen enjin kenderaan dengan lancar dalam tempoh 60 saat.

Kanak-kanak yang tinggal bersama keluarganya di Seremban 2 itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), selain dua pengiktirafan rekod dunia daripada International Book of Records dan Worldwide Book of Records.

Bapanya, Thynalan Mohan Das, berkata Gaeshwin berjaya mengenal pasti dan menyebut kesemua 44 komponen enjin berkenaan dengan tepat pada 24 Julai lalu.

Katanya, antara komponen yang dikenal pasti anak bongsu daripada tiga beradik itu ialah aci engkol (crankshaft), pengangkat injap (valve lifter), pelaras aci sesondol (camshaft adjuster), pam minyak enjin, rod penyambung (connecting rod), penutup pemasaan (timing cover) dan pemisah minyak (oil separator).