KUALA LUMPUR: Maybank terus memperkukuh kedudukannya dalam perbankan rentas sempadan apabila menjadi bank pertama di Singapura menawarkan kemudahan Akaun Semasa Korporat Ringgit kepada pelanggan korporat yang layak.
Kemudahan baharu itu membolehkan syarikat berpangkalan di Singapura menerima, menyimpan dan menjalankan transaksi dalam ringgit, sekali gus memudahkan urusan perdagangan serta pelaburan antara kedua-dua negara.
Melalui akaun berkenaan, pelanggan korporat yang mempunyai akaun semasa Maybank boleh menukar dolar Singapura atau mata wang asing kepada ringgit bagi membiayai pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan yang dibenarkan di Malaysia.
Antaranya termasuk penyelesaian transaksi perdagangan, pembayaran barangan dan perkhidmatan serta operasi pembiayaan.









