BASEL: Hasrat Novak Djokovic untuk mengutip mata berharga dalam perebutan slot ke Jelajah Akhir ATP pada November ini menerima tamparan apabila tersingkir pada pusingan kedua kejohanan ATP 500 di Basel, awal pagi tadi.

Pemain Serbia berusia 39 tahun itu tewas kepada wakil Jerman, Jan-Lennard Struff yang bangkit mencatat kemenangan 6-7 (4/7), 7-5, 7-6 (7/5) dalam pertarungan sengit selama dua jam 35 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Djokovic terlepas peluang mengutip mata penting bagi memperbaiki kedudukannya dalam ranking perlumbaan ke ATP Finals yang akan berlangsung di Turin, Itali, bulan depan.

Struff mempamerkan servis agresif sepanjang perlawanan bagi memberi tekanan kepada Djokovic, yang sebelum itu menguasai set pertama menerusi kemenangan 'tie-break' selepas kedua-dua pemain gagal mematahkan servis lawan.