BATU PAHAT: Seorang pemandu lori direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana disyaki memukul dan mengugut isterinya selepas wanita itu keluar menonton konsert bersama lelaki lain di ibu kota, Sabtu lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Berdasarkan laporan dibuat isterinya berusia 42 tahun, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi semalam apabila suspek menuduh mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Suspek kemudian dipercayai menampar belakang kepala mangsa sebelum mengacukan sebilah pisau sambil mengeluarkan kata-kata, `Baik kau mati je lah'.