Jelebu: "Memang sedih kerana kedua-dua belah mata saya sudah tak dapat nampak... sekarang tak dapat lagi saya nak melihat wajah insan tersayang terutama isteri dan anak.

"Tak mudah nak hadap tapi saya tetap bersyukur kerana Allah SWT masih izinkan saya bernafas dan mencari rezeki walaupun dalam 'gelap'."

Demikian luahan Muhammad Aizat Arfa Elmy Azizan, 27, atau Aizat yang dilahirkan normal namun diuji apabila kedua-dua belah matanya sudah tidak dapat melihat dan kini bergelar orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Berikutan itu, Aizat kehilangan pekerjaan apabila terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja am di sebuah pasar raya pada bulan ini dan kini, dia mencari rezeki hasil jualan 'affiliate' bagi beberapa produk seperti lampin pakai buang, tisu basah juga sabun pencuci di TikTok selain menjadi ejen syarikat penapis air.