Apabila seseorang memilih pengangkutan awam khususnya tren, lazimnya mereka berharap perjalanan akan dilalui, terutama pergi dan pulang bekerja lebih mudah, menjimatkan masa dan tidak membebankan poket.

Namun, harapan itu boleh bertukar menjadi kekecewaan apabila pengguna terpaksa berdepan masalah tren sesak, platform dipenuhi penumpang dan masa menunggu tidak menentu.

Boleh dikatakan, kesesakan tren bukan isu baharu dalam sistem tren di negara ini. Pengguna perkhidmatan tren di Lembah Klang juga sudah sekian lama menyuarakan rungutan.

Ada yang terpaksa menunggu lama di platform, terkandas dalam tren apabila berlaku kerosakan atau gangguan teknikal, terutama pada waktu puncak.