KUALA LUMPUR: Harta individu yang hilang tanpa khabar berita atau mafqud tidak boleh dibahagikan secara faraid selagi kematiannya belum disahkan mahkamah, namun waris berhak memohon perintah khas bagi mengeluarkan nafkah sara hidup.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, berkata Islam memberikan perhatian serius terhadap status mafqud bagi memelihara hak individu terbabit ke atas hartanya dan pada masa sama memastikan kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan tidak terabai.

Beliau menjelaskan, mengikut pegangan Mazhab Syafi'i dan kaedah istishab, seseorang yang hilang dianggap masih hidup sehinggalah terdapat bukti atau keputusan sah menentukan kematiannya.

"Meskipun Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan anggapan kematian selepas tujuh tahun tidak didengar khabar, tempoh itu adalah kaedah pembuktian undang-undang dan bukan pengesahan kematian secara automatik.