Usai tamat pengajian, lelaki ini pernah menimba pengalaman kerja sebagai ahli penyelidik farmaseutikal di sebuah syarikat, namun keinginan keluar daripada zon selesa mendorongnya bergelar usahawan sejak lima tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai pengalaman ditimba Imran Khan Sulaiman, 33, malah cabaran besarnya adalah meraih keyakinan dan kepercayaan rakan dagang, agensi, institusi kewangan, mahupun pelanggan terhadap syarikatnya yang masih hijau.

Enggan berputus asa, Imran Khan terus mengorak langkah membina empayar bermula sebagai usahawan mikro sebelum beralih kepada perusahaan kecil dengan dibantu 18 kakitangan.

Usahanya berhasil apabila tersenarai dalam kelompok 50 usahawan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang menerima pengiktirafan dalam Anugerah Enterprise 50 (E50) anjuran SME Corp Malaysia pada 19 Oktober lalu.