PETALING JAYA: Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) membantah penggunaan istilah ‘terkorban’, ‘meninggal dunia’ dan ‘perished’ dalam beberapa laporan media berhubung 54 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.

Penyelaras dan jurucakap MASFIH, Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, kematian kesemua individu berkenaan masih belum disahkan secara rasmi kepada waris atau diisytiharkan melalui prosedur undang-undang berkaitan.

“Seramai 54 rakyat Malaysia masih hilang dan kematian mereka belum disahkan secara rasmi. Sehingga pengesahan diperoleh melalui proses sewajarnya, mereka perlu dirujuk sebagai individu yang masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.