ANTANANARIVO – Serbuan ke atas pusat-pusat penipuan dalam talian di Madagascar membongkar kaitan dengan kumpulan penjenayah yang mengendalikan operasi serupa di Kemboja, kata pihak berkuasa kepada AFP.
Menjalankan penipuan percintaan, mata wang kripto dan pelaburan, premis penipuan itu kebanyakannya dikendalikan oleh warga China, dengan 148 daripada mereka telah diekstradisi ke Beijing, demikian menurut Kementerian Kehakiman Madagascar.
Sebanyak 13 premis penipuan dikendalikan warga China telah ditumpaskan dalam operasi pada Ogos dan September tahun ini yang dilancarkan bersama Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), katanya.
Kira-kira AS$52 juta (RM211 juta) dalam bentuk mata wang kripto dirampas dalam masa satu hari bersama lebih 3,200 peranti elektronik, kata pihak berkuasa AS itu dalam satu kenyataan lain.










