KOTA KINABALU: Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat mula beratur di Padang Merdeka di sini seawal 5.30 pagi untuk menghadiri Kenduri Rakyat meraikan pasangan selebriti, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Kehadiran lebih 20,000 pengunjung menjadikan padang di tengah-tengah bandar raya itu bertukar menjadi lautan manusia dengan kehadiran sebahagian pengunjung yang mengenakan busana tradisional pelbagai etnik menyerlahkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat di Sabah.

Antara yang mencuri perhatian ialah pengunjung berbusana tradisional etnik Bajau Semporna, Bajau Sama, Kadazan, Dusun Tindal, Dusun Kujau, Murut, Bugis, Bidayuh dan Lundayeh yang memperlihatkan keindahan warisan budaya masing-masing.