PUTRAJAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun antara empat individu dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman hari ini memaklumkan pelantikan itu adalah mengikut subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695].

Turut dilantik ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Hartini Saripan bagi penggal yang kedua serta bekas Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Mariati Robert.

“Pelantikan ini adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Nov 2026 hingga 31 Okt 2028,” menurut kenyataan itu.