Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melantik empat individu termasuk bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Turut dilantik ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Hartini Saripan bagi penggal yang kedua dan bekas Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Mariati Robert.

Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman hari ini memaklumkan pelantikan itu adalah mengikut subseksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695].

"Pelantikan ini adalah bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 1 Nov 2026 hingga 31 Okt 2028," menurut kenyataan itu.