Melaka: Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh tidak hanyut dengan pujian calon lawan, sebaliknya menjadikan pandangan kemampuannya menjaga Tanjung Bidara sebagai pembakar semangat untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu berkata, pandangan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri itu turut menambah rasa tanggungjawabnya terhadap penduduk di kawasan berkenaan.

"Pandangan yang diberi itu saya amat hargai, tetapi saya tidak menganggap itu sebagai satu pujian ataupun keselesaan.

"Kenyataan itu menjadikan saya lebih bertanggungjawab terhadap rakyat Tanjung Bidara," katanya ketika ditemui selepas bersarapan bersama penduduk di Lubok China, di sini, hari ini.